HomeNiagaUsahawanKomunikasi, ketrampilan kunci kejayaan usahawan

Komunikasi, ketrampilan kunci kejayaan usahawan

KUALA LUMPUR: Keberkesanan komunikasi yang baik serta ketrampilan diri menjadi kunci kepada kejayaan usahawan dalam mengetengahkan produk, jenama atau servis mereka.

Ini menyebabkan masih banyak produk, jenama atau servis kurang dikenali walaupun ia amat baik dan berpotensi untuk berkembang lebih luas.

Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan (PPPKM) Gombak Selangor, Fatimah Hamid, berkata pihaknya sentiasa berusaha membantu memperkasakan produk dan khidmat perniagaan ahli melalui pelbagai platform bantuan termasuk kursus dan dana.

Bagaimanapun, katanya, beliau melihat usahawan kecil masih perlu mengasah kemahiran interaksi dan ketrampilan kerana menyifatkan ia adalah kunci produk atau khidmat perniagaan didekati lebih rapat.

“Kursus komunikasi dan ketrampilan ini sangat penting untuk usahawan terutama ahli PPPKM  supaya mereka boleh melihat strategi dan tips baharu yang perlu diperkasa dalam perniagaan masing-masing.

“Untuk jadi usahawan atau peniaga, perlu ada keyakinan diri, mempromosi produk, khidmat dan hari ini kita ajak usahawan kita ke hadapan untuk bercakap, sambil mempromosi produk melalui pasaran media sosial.

“Sekarang ini, kita juga lihat promosi barangan melalui media sosial sangat untung dan penting, jadi ahli perlu ambil kesempatan ini untuk memperkasa kemahiran diri,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada program Kursus Keusahawan Majlis Pembangunan Usahawan & Koperasi Parlimen (MPUKP) Gombak anjuran PPPKM Gombak yang dihadiri kira-kira 40 ahli persatuan di Bangunan SME Corp, Platinum Sentral, di Kuala Lumpur Sentral, di sini.

Justeru, beliau meletakkan harapan kepada 300 ahli PPPKM untuk terus bertambah yakin dan berketrampilan lebih baik, di samping memfokuskan promosi produk dan khidmat sekali gus melonjakkan perniagaan ke peringkat global.

Turut hadir, Eksekutif Kanan SME Corp, Zulkarnean Zainol Abidin dan Setiausaha MPUKP Gombak, Rashiddin Ahmad mewakili Pengerusinya, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.

Sementara itu, Zulkarnean sebagai pengendali majlis turut berkongsi tips dan bimbingan membabitkan aspek komunikasi, keyakinan, ketrampilan diri dalam menjual produk dan khidmat perniagaan usahawan.

“Justeru melalui program ini juga, SME Corp mahu melahirkan lebih ramai usahawan keluar daripada definisi peniaga kecil.

“Kita mahu mereka menambahbaik perniagaan kepada industri sederhana kemudian lebih besar dan berkembang maju ke peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor