HomeBeritaMahathir seru rakyat tolak UMNO

Mahathir seru rakyat tolak UMNO

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden UMNO dan ahli UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat negara ini menolak pertubuhan terbesar Melayu iaitu UMNO.

Beliau yang sudah memimpin UMNO selama 22 tahun berkata, UMNO sekarang bukanlah UMNO yang ditubuh pada 1946.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, UMNO perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama.

Mantan Perdana Menteri ke empat dan ke tujuh itu berkata, beliau kini menjadi penentang UMNO dan berusaha supaya Kerajaan pimpinan UMNO dikalahkan dan UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Malaysia.

“Saya terpaksa keluar dari UMNO kerana UMNO bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946 bukan yang menyelamat Tanah Melayu dari diambil alih oleh British bukan yang berjaya merebut kemerdekaan negara dan kemudian telah bangun negara sehingga terkenal sebagai Harimau Asia.

“UMNO sekarang sudah beralih menjadi parti perasuah secara total dari puncak pimpinan sehingga ke akar umbi.

“Pucuk pimpinan UMNO sekarang terkenal di seluruh dunia sebagai perasuah, pencuri berbilion duit negara, penyalahguna kuasa, perosak pentadbiran negara dan penghancur UMNO itu sendiri.

“Rasuah, sogokan duit dibuat sehingga ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, ketua cawangan, ahli biasa semua terlibat dengan rasuah tanpa malu,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Menurutnya lagi, walaupun ahli boleh singkir pemimpin yang menyeleweng, tetapi mereka tidak guna Perlembagaan UMNO untuk bersihkan parti.

“Sebaliknya mereka teruskan sokongan kuat kepada Presiden yang akhirnya didapati bersalah dan dipenjara.

“Mereka (ahli UMNO) nafi, tetapi rakyat tahu mereka mengongsi duit yang dicuri, duit haram. Ramailah pemimpin UMNO yang memiliki sampai RM2 bilion. Wakil rakyat, Menteri pun biasanya tidak boleh ada duit sebanyak ini.

“Sebab itu kita membaca laporan berkenaan dengan berbillion duit 1MDB hilang, enam bilion untuk buat enam buah kapal LCS hilang tanpa satu pun kapal dibina. Duit Kerajaan ratusan juta diperuntukkan untuk beli meriam, beli helikopter tanpa mengikut prosedur,” katanya.

Kenyataan itu menegaskan, Perdana Menteri (Najib) didedah memiliki lebih RM2 bilion dalam akaunnya di bank.

“Kononnya derma dari Raja Arab. AG pilihan Najib tidak menyiasat sepenuhnya punca duit ini tetapi mengisytihar tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib.

“Sebaliknya apabila Najib dibicara, dia didapati bersalah, didenda RM210 juta dipenjara 12 tahun.

“Pimpinan dan ahli UMNO menuduh kononnya Najib dianiaya. Konon mahkamah tidak adil. Ini berkenaan seorang yang dibicara selama empat tahun; oleh tiga mahkamah dan sembilan hakim. Tidak ada kes seperti ini dalam sejarah negara. Semua hakim bersetuju Najib salah,” katanya.

Kata Mahathir, yang tidak adil ialah tindakan Najib cuba menutup ‘bangkai gajah’ dengan memecat sesiapa yang cuba siasat apa-apa berkenaan salah laku 1MDB.

“Peguam Negara Tan Seri Abdul Gani Patail, disingkir dan diganti dengan pilihannya Tan Sri Apandi Ali yang kemudian membersihkan Najib dari semua siasatan dan pertuduhan. Begitu juga pegawai polis dan SPRM yang ditukar dan “dibeku”.

“Polis diarah untuk tangkap siapa sahaja yang melapor atau mengkritik 1MDB dan juga Najib secara terbuka.

“Di Parlimen, Pengerusi Public Accounts Committee diganti dengan seorang yang rapat dengan beliau, laporan Audit Negara diklasifikasi sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mengelak diketahui umum, persoalan berkenaan 1MDB tidak dibenar dibahas di Parlimen,” tulisnya lagi.

Menurutnya, Khairudin Abu Hassan dan Matthias Chang dipenjara di bawah SOSMA untuk halang mereka daripada melaporkan berkenaan wang 1MDB ke luar negara.

“Dan banyak lagi yang dilaku oleh Najib untuk melepas dirinya dibantu pegawai-pegawai yang bertuhankan Najib.

“Dan semua perlakuan ini diterima, disokong dan dipertahan oleh UMNO. Pendirian dan sikap UMNO menunjuk seluruh parti itu tidak lagi berpegang kepada prinsip perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan UMNO. Budaya UMNO bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti UMNO lagi.

“Saya sedih. Tetapi yang benar saya perlu terima. Parti saya dahulu sudah hancur kerana kepercayaan bahawa ‘Cash is King’,” tulis Mahathir mengakhiri kenyataan itu.

Author

Pilihan Editor