HomeBeritaMalaysia jangka tiga kali ganda kemasukan pelancong Eropah, Timur Tengah

Malaysia jangka tiga kali ganda kemasukan pelancong Eropah, Timur Tengah

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan peningkatan kemasukan pelancong Eropah dan Timur Tengah sehingga tiga kali ganda, hingga akhir tahun ini.

Jumlah itu dianggarkan membabitkan 9.2 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM26.8 bilion bagi tahun 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihak kementerian secara agresif melakukan pelbagai usaha memulihkan kembali sektor pelancongan selepas menerima kesan teruk akibat pandemik COVID19.

Katanya, ia membuahkan hasil berdasarkan pencapaian sasaran awal yang menyaksikan seramai 3.21 juta pelancong dengan nilai pendapatan sebanyak RM9.35 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Usaha itu juga berhasil sejak pembukaan semula sempadan negara, pada 1 April lalu.

“Berdasarkan pencapaian tersebut, MOTAC telah menyemak semula sasaran baharu ketibaan pelancong dan pendapatan bagi suku tahun keempat iaitu kemasukan sebanyak 9.2 juta dengan nilai pendapatan RM26.8 bilion.

“Setakat Jun 2022 sebanyak 95,000 pelancong dan kami harap selepas Piala Dunia, lebih ramai lagi yang datang terutamanya dari Qatar.

“Selepas itu kita akan bincang lokasi mana yang jadi pilihan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara Tourism Malaysia dan Qatar Airways di sini.

Kolaborasi itu dipercayai bakal mewujudkan peningkatan kemasukan pelancong daripada Qatar, Dubai dan Arab Saudi.

Justeru, pihaknya yakin sasaran itu akan dipacu pelbagai aktiviti promosi pelancongan termasuk kerjasama antara Tourism Malaysia dan Qatar Airways.

Nancy berkata lagi, kerjasama strategik itu juga akan meningkatkan pilihan penerbangan dan destinasi disamping menawarkan perkhidmatan terbaik oleh Qatar Airways.

Oleh itu, syarikat penerbangan itu dijangka menambah kekerapan penerbangannya ke Malaysia berbanding tiga kali sehari ketika ini.

Malah, dengan pembukaan semula pintu sempadan negara Brunei pada 1 Ogos lalu, turut dijangka meningkatkan lagi jumlah ketibaan pelancong ke dalam negara.

Author

Pilihan Editor