HomeBeritaMenteri agama diselar 'pro' pelaku seksual

Menteri agama diselar ‘pro’ pelaku seksual

KUALA LUMPUR : Menteri agama Idris Ahmad diselar kerana kenyataannya bahawa seorang pelakon remaja tidak patut mendedahkan aib pengalaman gangguan seksual oleh bapanya.

Bekas naib presiden MUDA, Thanussha Xavier menyindir PAS beriya pertahankan sangat lelaki yang membuat gangguan seksual terhadap anak sendiri.

“Masih ada yang nak undi PAS lagi ke?

“Kalau konsert, lantang mereka membantah, tapi gangguan seksual…,” sindirnya.

Pelakon 15 tahun itu baru-baru ini mendedahkan dakwaan gangguan seksual bapanya dalam siaran di YouTube.

Idris Ahmad dilaporkan berkata pelakon itu sewajarnya menutup aib sendiri dan tidak mendedahkan perkara itu pada orang ramai.

Katanya remaja itu sewajarnya membuat laporan polis bagi membolehkan dirinya mendapat pembelaan undang-undang dan dilindungi daripada ancaman.

“Sepatutnya kita dalam Islam, dia lebih pentingkan kepada menutup aib sendiri. Sepatutnya gangguan seperti itu tak perlu didedahkan pada orang ramai,” beliau dipetik sebagai berkata selepas merasmikan Konvensyen Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie di Bangi, semalam.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen wanita tidak bersetuju dengan kenyataannya mengulas mengenai pendedahan pelakon itu.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, Idris tidak wajar membuat kenyataan sedemikian yang boleh menjejaskan moral mangsa gangguan seksual, sekali gus menampakkan diri seolah-olah memandang ringan isu yang sedang tular.

“Apabila anda berada di kedudukan berkuasa meremehkan isu besar seumpama itu yang melanda kanak-kanak, ia menghantar mesej yang salah kepada pemangsa (seksual) dan menghampakan mangsa daripada bersuara.

“Idris sebagai orang beragama sepatutnya mengutuk kejadian itu. Mangsa juga mempunyai hak untuk bercakap mengenai kejadian yang menimpanya. Menerusi tindakannya itu akan membuka jalan bagi mereka yang pernah mengalami kejadian sama untuk bersuara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, kenyataan Idris itu mencerminkan sikap dan pemikiran mereka yang selalu menghalang mangsa untuk tampil membuat pendedahan.

Tindakan Idris yang hanya menasihatkan mangsa untuk membuat laporan polis menunjukkan Idris tidak memahami penderitaan yang dialami Puteri Balqis yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh bapanya seperti yang didakwa.

“Menteri ini benar-benar perlu menjalani latihan bagaimana untuk lebih empati,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun kelmarin dilaporkan bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata bapa pelakon itu membuat laporan polis balas bagi menafikan dakwaan berkenaan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah.

Author

Pilihan Editor