HomeNiagaSabella raih empat anugerah, tewaskan jenama antarabangsa

Sabella raih empat anugerah, tewaskan jenama antarabangsa

KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang tiada siapa tahu.

‘Baju kurung tak perlu gosok’ yang diketengahkan Sabella membawa tuah apabila berjaya merangkul tiga anugerah emas dan satu Grand Prix pada Malam Anugerah Media Specialist Association (MSA) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabella, Mohd Sufian Sulaiman berkata, Sabella satu-satunya usahawan Kecil dan Sederhana yang menerima anugerah terbesar pemasaran di Malaysia.

Katanya, kejayaan yang diraih itu bukan hasil titik peluh bersama isterinya, Siti Fatimah Abdul Samad sahaja, tapi ia juga kerja keras daripada warga kerja dan pasukan.

“Kami menang ketiga-tiga kategori yang dicalonkan iaitu Gold dan keseluruhan iaitu Grand Prix. Lebih membanggakan apabila kami tercalon bersama beberapa jenama antarabangsa dan tempatan terkenal lain.

“Sejujurnya, apabila diumumkan pemenang dengan menewaskan jenama hebat lain, memang berasa kerdil namun ini berkat daripada usaha yang tidak pernah jemu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Sufian, dia berharap anugerah yang diperoleh itu menjadi pemangkin untuk Sabella melangkah ke peringkat antarabangsa.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami selama ini semoga ia jadi inspirasi buat usahawan kecil lain juga,” katanya.

Empat anugerah yang dimenangi Sabella adalah Branded Content (Gold), E-Commerce (Gold), Media Performance (Gold) dan Grand Prix.

Untuk rekod, jenama Sabella bermula dari rumah menggunakan sebuah mesin jahit dengan niat ingin membantu menambah pendapatan seisi keluarga.

Kini, jenama Sabella Holding Sdn Bhd (Sabella) mampu berdiri megah seiring dengan jenama terkenal lain di Malaysia.

Author

Pilihan Editor