KUALA NERUS: Jurulatih muda yang sedang meningkat naik, Nafuzi Zain enggan melayan khabar angin mengenai perpindahannya dari bumi Darul Iman ke negeri Jelapang Padi musim depan.
Sebaliknya beliau menegaskan tumpuannya kini hanya terarah kepada tugas kejurulatihan bersama skuad Sang Penyu musim ini yang masih berbaki dua bulan.
Menurut Nafuzi beliau menganggap khabar angin tersebut sebagai lumrah dalam dunia bola sepak, dan tidak sesekali menjejaskan fokus serta misinya untuk membawa Terengganu FC (TFC) ke pentas Piala Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
“Saya tak mahu layan benda-benda (khabar angin) yang tak sahih. Cakap-cakap dan desas-desus di media sosial itu biarkanlah. Fokus sekarang ialah untuk memastikan Terengganu layak ke Piala AFC tahun depan.
“Selain itu kami juga masih ada Piala Malaysia. Sasaran kami pastilah untuk layak ke final. Insya-Allah kalau ada rezeki kami mahu membawa trofi berprestij itu ke Terengganu sebagai hadiah untuk penyokong bola sepak,” katanya ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak petang semalam.
Mengulas lanjut Nafuzi berkata setakat ini beliau masih belum menerima sebarang tawaran daripada pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd.
Bagaimanapun beliau enggan terlalu memikirkan perkara tersebut dan menunggu masa sesuai untuk menentukan hala tujunya tahun depan sekiranya khidmatnya sudah tidak diperlukan di Terengganu.
Dalam perkembangan lain Nafuzi yang juga bekas penyerang pasukan Terengganu mengingatkan anak buahnya supaya mempamerkan aksi terbaik bagi meraih tiga mata pada perlawanan Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
“Kami amat memerlukan kemenangan malam esok untuk pastikan laluan ke Piala AFC lebih mudah.
“Ini aksi terakhir kami di depan penyokong sendiri. Guna kelebihan ini untuk tebus kembali kekalahan kepada Sabah FC tempoh hari dan kutip tiga mata untuk dapat tempat ketiga liga seterusnya menempah slot ke AFC,” katanya. – BERNAMA