HomeBeritaPemancing terkejut jumpa bom lama zaman Jepun

Pemancing terkejut jumpa bom lama zaman Jepun

HULU SELANGOR: Dua pemancing lelaki dikejutkan dengan penemuan sebutir bom lama tertanam di tebing Sungai Kedondong, berhampiran Jalan Batang Kali-Genting Highland, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bom oleh dua lelaki pada Jumaat.

Katanya, bom berkenaan pada awalnya ditemui dua pemancing terbabit, kira-kira jam 2 petang pada 7 September lalu sebelum ia dilaporkan kepada pihak polis.

Berdasarkan siasatan, seorang daripada mereka, iaitu peniaga berumur 42 tahun menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan bom berkenaan.

“Bom lama itu dianggarkan seberat 50 kilogram ditemui tertanam sebahagian daripadanya.

“Bagaimanapun, bom berukuran lilit dan panjang masing-masing 42 inci berkenaan sudah tidak aktif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Suffian berkata, siasatan lanjut mendapati bom lama berkenaan dijatuhkan dari kapal terbang semasa pendudukan Jepun dahulu.

“Bom tersebut kemudian dimusnahkan oleh sepasukan anggota daripada Unit Bom Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 2.50 petang, hari ini.

Author

Pilihan Editor