HomeBerita'Pembebasan Zahid bukti pertuduhan politik'

‘Pembebasan Zahid bukti pertuduhan politik’

SHAH ALAM: “Pembebasan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan kes sistem Visa Luar Negara (VLN) membuktikan ia hanyalah pertuduhan politik,” kata Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jelas beliau, pertuduhan ke atas Presiden UMNO itu berlaku pada zaman Pakatan Harapan (PH), pendakwaraya bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai pemimpin PH, Latheefa Koya.

“Pembebasan Zahid membuktikan bahawa yang dituduh itu adalah fitnah semata-mata dan keputusan hari ini membersihkan nama Zahid, bermotif politik semata-mata.

“Zahid sebelum ini diugut Tun Dr Mahathir Mohamad perlu masuk parti Bersatu tetapi beliau tolak syor menyertai Bersatu, kerana penolakan itu beliau dituduh lebih 80 pertuduhan.

“Ini menjelaskan kepada rakyat pertuduhan politik semata-mata, kepentingan parti pemerintahan politik zaman PH.

“Saya berharap menjelang PRU15 akan datang, rakyat nilailah pemimpin-pemimpin UMNO bukanlah pemimpin yang digambarkan,” katanya kepada media mengulas pembebasan Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membebaskan dan melepaskannya
daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid dilaporkan berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Author

Pilihan Editor