HomeBeritaSaya dimalukan, ditelanjangkan sebelum dibukti bersalah - Zahid

Saya dimalukan, ditelanjangkan sebelum dibukti bersalah – Zahid

SHAH ALAM: “Saya telah diaibkan, dimalukan, ditelanjangkan, dengan pelbagai anggapan dan saya telah dihukum oleh mahkamah rakyat,” kata mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sejurus mendapat keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

“Keputusan hari ini membuktikan pelaksanaan perundangan telah ditegakkan, saya ucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya yang amat profesional.

“Saya berterima kasih barisan peguam, kepada wartawan dan rakan yang sanggup datang dari Sabah serta kepimpinan UMNO.

“Saya rasa bahawa isu yang telah dibawa kepada saya satu ujian yang telah ditimpakan kepada saya dan saya amat yakin pertuduhan-pertuduhan berkenaan tidak pernah saya lakukan dan sy amat yakin selaku Pengerusi dan Presiden UMNO bahawa ini perjuangan BN,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau dalam nada hiba mengucapkan kesyukuran selepas keputusan dibacakan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang membebaskan dan melepaskannya
daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid dilaporkan berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Author

Pilihan Editor