HomeSukanPenang FC perlu segera dapat rentak kemenangan jika mahu layak ke Piala...

Penang FC perlu segera dapat rentak kemenangan jika mahu layak ke Piala Malaysia 2022

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

PEMAIN pertahanan kanan Penang FC, Jafri Firdaus Chew tidak menafikan pasukannya perlu segera mendapatkan rentak kemenangan jika mahu tampil di pentas TM Piala Malaysia 2022.

Malam ini, Penang FC akan bertandang ke Stadium Darul Aman bertemu Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super.

Ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan di tangga ke-11, Sarawak United, peluang masih ada kepada Penang memandangkan masih ada baki enam perlawanan.

“Peluang masih ada untuk kami kejar kedudukan pasukan-pasukan lain sekiranya mahu layak ke Piala Malaysia tetapi kami tidak boleh lagi keciciran sebarang mata.

“Bermula dengan Kedah, Penang wajib mendapatkan mata biarpun sedar pertembungan dengan jiran kami ini selalunya sengit dan membangkitkan semangat yang berbeza.

“Walaupun bertandang ke tempat lawan, saya tetap optimis kami mampu melakar sesuatu dan jika kami boleh elakkan banyak kesilapan, tiada apa yang mustahil,” katanya dalam Facebook MFL.

Jafri, 25 sebelum ini memulakan karier bersama Harimau Muda sejak tahun 2013 sebelum bersama Penang selama dua musim pada tahun 2016 dan 2017 selain PKNS (2018-2019) dan kembali ke Penang pada musim ini.

Author

Pilihan Editor