HomeBeritaRakyat Kedah nikmati bas percuma sempena AKM

Rakyat Kedah nikmati bas percuma sempena AKM

KUALA LUMPUR: Rakyat negeri Kedah bakal menikmati perkhidmatan bas percuma menerusi pengangkutan MARA Liner, sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) peringkat negeri, selama tiga hari bermula 2 hingga 4 September ini.

MARA Liner menyediakan 17 buah bas dengan dua jenis perkhidmatan iaitu bas henti-henti dan bas ekspres sepanjang program berkenaan.

Ia membabitkan perjalanan di sekitar kawasan bandar Alor Setar secara ulang-alik, bermula dari Pekan Rabu dan Terminal bas Shahab Perdana Alor Setar menuju ke Stadium Darul Aman.

Perkhidmatan itu bermula seawal jam 9 pagi hingga 9 malam dengan kekerapan setiap 15 minit setiap bas.

Menurut satu kenyataan MARA Liner, ia antara usaha MARA Liner sebagai sebuah syarikat pengangkutan bas utama negara, untuk menghayati aspirasi kerajaan dalam memberi fasiliti kepada rakyat sewaktu berlangsungnya jelajah tersebut.

“Ia diharapkan dapat memberi kemudahan kepada rakyat negeri Kedah untuk sama-sama datang bagi memeriahkan jelajah yang julung-julung kali diadakan ini.

“Kita menjangkakan seramai 100,000 orang pengunjung hadir dari seluruh pelusuk negeri Kedah dan akan berkumpul di Alor Setar,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MARA Liner berkata, terdapat pelbagai aktiviti menarik termasuk sesi jualan murah keperluan asas.

MARA Liner juga bakal memperkenalkan satu program loyalty dengan menggunakan sistem pendaftaran mesra pengguna iaitu Chatbot Artificial Intelligence AI.

Ia menjanjikan faedah istimewa khususnya golongan B40 dan juga pelajar yang rata-rata pengguna utama perkhidmatan bas ekspres negara ini.

Jelajah AKM Kedah ini dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan barisan EXCO negeri.

Perkhidmatan bas MARA Liner ini adalah hasil cadangan utama yang diberikan oleh syarikat induk Mara Liner iaitu MARA Corporation Sdn. Bhd. yang diterajui oleh pengerusinya iaitu Datuk Othman Aziz.

Author

Pilihan Editor