KUALA LUMPUR: Setelah tiga tahun sepi daripada radar politik dan media, kemunculan semula Presiden Parti Progresif Rakyat (MyPPP), Tan Sri M Kayveas menjadi perhatian ramai.
Pengalaman politiknya bukan sedikit bermula pada tahun 1982 sebagai ahli biasa MyPPP, Naib Presiden pada tahun 1988, Timbalan Presiden Kanan pada tahun 1990 dan Presiden pada tahun 1993.
Kayveas sebelum ini berharap kerusi diberi di Cameron Highlands namun hasratnya tidak tertunai ketika era Datuk Seri Najib Razak.
Pejabatnya diceroboh, cuba dijatuhkan oleh orang terdekatnya sehingga MyPPP nyaris dibatalkan namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.
Kini Kayveas kembali dalam arena politik kerana sedih melihat senario politik yang seolah-olah hilang arah dan rakyat menjadi mangsa ketidakstabilan ini.
“Saya sedih lihat keadaan politik selepas BN kalah, di bawah Pakatan Harapan selama 22 tahun negara kucar-kacir, Perikatan Nasional pula membawa cara lain dari biasa menyebabkan rakyat tidak selesa.
“Saya undur diri sekejap untuk meneliti apa punca mereka gagal diterima rakyat, meneliti apa yang berlaku ke atas usaha MyPPP, meneliti apa yang rakyat mahu dan daripada semua yang saya kaji ini, saya sudah ada formula untuk menang PRU15.
“Sebenarnya pemimpin tak perlu manifesto tebal-tebal muka surat, satu pun tak boleh dilaksanakan. Kita hanya memerlukan dua tiga perkara sahaja, how to help people, what the rakyat need.
“Jadi apabila tiba masanya nanti, kita akan umumkan, ye saya akan kembali semula dalam politik demi rakyat,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Tambah Kayveas, motto asal MyPPP adalah ke arah 1Malaysia, Najib ikut selepas itu 1Malaysia tetapi orang tak sokong sebab tak faham.
“Jika tak faham macam-macam kritikan, sikap orang kita suka suka kritik, suka menghukum tetapi kurang usaha untuk memahami,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau masih mengharapkan kerusi di Cameron Highlands, katanya selain Cameron, beliau banyak bantu rakyat di Ipoh Barat.
“Tempat MyPPP lahir di Perak, jadi jika dapat berkhidmat di sana pun kita syukur,” katanya.