HomeHiburanSaya perlukan rehat - Justin Bieber

Saya perlukan rehat – Justin Bieber

Oleh: SITI NS

JUSTIN Bieber membuat satu pengumuman bahawa dia akan membatalkan jelajah dunianya kerana isu kesihatan.

Bieber sebelum ini memberitahu peminat-peminatnya yang dia disahkan menghidap sindrom Ramsay Hunt pada Jun tetapi masih memilih untuk menyambung semula jelajahnya selepas menangguhkan beberapa tarikh.

Bieber berkata di laman Instagramnya bahawa selepas berehat dan berunding dengan doktor, ahli keluarga dan pasukannya, dia memilih untuk meneruskan jelajah itu semula di Eropah pada bulan Julai, melakukan enam pertunjukan berbeza.

Selepas persembahan baru-baru ini di Brazil, bintang itu berkata bahawa berbuat demikian adalah membebankan dan berasa seolah-olah dia tidak lagi dapat meneruskan tarikh jelajahnya seperti yang dirancang.

Kemudian penyanyi ‘Peaches’ berusia 28 tahun itu mengumumkan di laman Instagram ‘story’ bahawa dia akan menghentikan berpuluh-puluh persembahan yang dijadualkan sehingga Mac depan untuk mengutamakan kesihatannya.

“Hujung minggu lalu, saya membuat persembahan di Rock, Rio dan saya berikan segala yang saya ada kepada peminat di Brazil. Selepas turun dari pentas, keletihan yang amat sangat menyelubungi saya dan saya sedar bahawa saya perlu meletakkan kesihatan saya sebagai keutamaan sekarang. Jadi saya akan berehat dari jelajah buat sementara waktu. Saya baik-baik sahaja tetapi saya perlukan masa untuk berehat dan rasa lebih sihat,” tulisnya.

Author

Pilihan Editor