HomeHiburanSelepas dua tahun kahwin, suami puji Mira Filzah isteri yang terbaik

Selepas dua tahun kahwin, suami puji Mira Filzah isteri yang terbaik

 

KUALA LUMPUR: Suami pelakon Mira Filzah, Wan Emir Astar atau Emir, 32, menghamburkan pujian buat isterinya selepas dua tahun membina rumah tangga yang disifatkannya memori yang cukup indah.

Menerusi hantaran di media sosial pasangan itu, Emir turut melahirkan rasa bertuah dikurniakan seorang isteri terbaik selain seorang wanita yang cukup luar biasakerana memiliki keperibadian yang mengagumkan.

“Nur Amirah Filzah Isteriku Syurgaku, di mataku, dirimu insan luar biasa. Banyak pengalaman tercipta, memori terukir sejak kita membina rumah tangga bersama dua tahun yang lalu.

“Ada suka dan duka, ada pengorbanan dan kejayaan. Tetapi apa yang pasti adalah sifat semula jadi dirimu yang cukup penyayang, pemurah dalam berbudi dan berbakti, memberi terbaik dan segalanya dalam sesuatu perkara.

“Sifatmu ini terus dan sentiasa menawan hatiku terhadap dirimu wahai isteriku, dan menjadi inspirasi dan peringatan buat diriku sendiri setiap hari,” tulisnya.

Emir turut melahirkan rasa syukur apabila perkahwinan mereka diserikan lagi dengan kehadiran putera sulung, Wan Khair Amir serta sifat keibuan Mira menjaga cahaya mata mereka.

“Kami tunjukkan ciri serta ikatan keibuan yang luar biasa sejak kita mendapat tahu mengenai kehadirannya. Saya semakin nampak dengan jelas bagaimana bersungguhnya kamu menjaganya dan besarkan keluarga kita.

“Bersama kita berdoa dan zahirkan keinsafan dan kesyukuran, moga usaha kita dalam membina keluarga yang sakinah mawaddah dan rahmah, sentiasa dilindungi dan dipimpin-Nya, aamin YRA,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 3 September 2020 sebelum Mira berkongsi mengenai kehamilannya pada Januari lalu.

Author

Pilihan Editor