HomeBeritaWira merdekakan Malaysia dari komunis, rayu kerajaan prihatin

Wira merdekakan Malaysia dari komunis, rayu kerajaan prihatin

KUALA LUMPUR: ‘Fight, Fighter, Fighting, Fearless’ adalah makna F dalam pasukan elit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan F pada ‘Hanya Yang Berani’ menyertainya.

Sumbangan dan jasa Pasukan F kepada negara bukan sedikit, ibarat pepatah berani hilang tak hilang, berani mati tak mati, sehingga mampu menghapuskan musuh malah mengakhiri gerakan komunis pada tahun 1988.

Sebut sahaja operasi mega Kelong, Kelah, dan Taa Loong, kesemuanya melakar kejayaan apabila dilumpuhkan Pasukan F sehingga tertangkapnya ketua pengganas komunis paling dikehendaki iaitu CT Chong Chor, dan penyerahan diri 83 komunis di Tanjung Malim pada 1988.

Negara ‘merdeka’ sebenar-benarnya pada tahun itu iaitu selepas semua penjajahan komunis dibersihkan pasukan ini.

Pasukan F, ditubuhkan pada 1971 yang ketika itu dianggotai seramai 165 anggota sebelum dibubarkan secara rasmi pada 1995.

Justeru, bekas Pegawai Turus Pasukan F, ACP (B) Datuk Abdullah Abdul Hamid tampil menyuarakan hasrat bagi 30 anggota pasukan yang tinggal, tidak berpencen dengan menuntut pengiktirafan dan penghargaan.

Penasihat Pasukan F itu tidak mahu perjuangan dan pengorbanan anggota terus dilupakan sebaliknya kecemerlangan pasukan kecil itu dihargai kerana berupaya mencipta rekod luar biasa dalam sejarah negara.

“Pasukan F ada tiga kategori pegawai dan anggota, iaitu pertama yang berpencen tetapi berkhidmat sehingga umur 60 tahun, keduanya yang menamatkan perkhidmatan awal dan tanpa pencen manakala ketiga yang bekerja secara kontrak.

“Kini ada 30 anggota tidak berpencen hidup dalam kemiskinan, mereka tidak mempunyai kad pesara kerana tidak diiktiraf.

“Jadi, kami mahu Pasukan F diiktiraf, diberi penghargaan setimpal sama ada bentuk imbuhan atau pingat berjasa kepada negara, terpulang kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memohon kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menilai semula penghargaan terhadap pasukan ini.

“Ia tidak semestinya imbuhan, banyak cara lain lagi boleh dinilai seperti contoh lesen perniagaan, tanah atau sebagainya.

“Kita perlu menghargai mereka ini kerana berjasa pada negara, jika kita tidak menghargai akan memberikan kesan buruk pada masa akan datang,”katanya.

Author

Pilihan Editor