HomeBeritaAhmad Zahid dakwa pembangkang bawa naratif lemah, takut kalah PRU15

Ahmad Zahid dakwa pembangkang bawa naratif lemah, takut kalah PRU15

CYBERJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membidas cubaan pembangkang melengahkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mencipta naratif lemah seperti musim banjir dan perayaan tidak sesuai untuk diadakan PRU15 sebagai dangkal.

Menurut Ahmad Zahid, pembangkang sengaja mencipta persepsi sedemikian seperti yang dilakukan pada PRU14 lepas kerana pihak pembangkang takut berhadapan dengan kekalahan pada PRU15 berikutan gelombang penolakan kini sedang berlaku terhadap parti pembangkang.

Jelasnya lagi, tindakan pembangkang mencipta persepsi lemah adalah disebabkan takut dihukum pengundi pada PRU15 akan datang berikutan kegagalan menunaikan manifesto PRU14, perebutan kuasa PM di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kegagalan pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan serta mengamalkan pendakwaaan terpilih dalam sistem kehakiman.

“Sifat ketakutan pembangkang terserlah apabila mengabaikan fakta dan hujah mengenai banjir dan pilihan raya. Cubaan ini dapat dilihat apabila kecoh di media sosial mendakwa hujan lebat berterusan akan berlaku mulai pertengahan November ini dan akan berlaku banjir.

“Hal ini menunjukkan betapa terdesaknya pembangkang takut berdepan pilihan raya umum berlaku. Mereka takut dihukum oleh pengundi mereka sendiri yang sedar apabila PH gagal melaksanakan manifesto mereka.

“Rakyat disuruh mengikat perut, manifesto bukan kitab suci, elaun sara hidup nelayan dipotong, ICERD cuba diratifikasikan di negara ini dan sebagainya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas cubaan pembangkang membawa naratif PRU15 diadakan menghampiri musim perayaan seperti Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Raya adalah juga sebagai dangkal.

“Pembangkang lupa BN mempunyai pengalaman dalam mengatur dan mengendalikan pilihan raya dan mengetahui masa terbaik untuk pilihan raya diadakan.

“Kedangkalan pembangkang juga apabila mencetuskan  isu kos mengadakan pilihan raya. Pembangkang lupa kalau dilengahkan lagi pilihan raya kos akan semakin tinggi pula.

“Tidak pernah berlaku kos pilihan raya semakin menurun setiap kali diadakan. Inilah komitmen kerajaan untuk suburkan amalan demokrasi negara,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid,  Pakatan Harapan dan gabungan pembangkang yang menjadi musuh politik BN sengaja mahu melengahkan PRU15 disebabkan kebimbangan menerima kifarah disebabkan kezaliman akibat daripada perbuatan politik mereka sendiri.

Author

Pilihan Editor