HomeBeritaGabungan NGO perjuangkan hak peniaga kecil tertindas menerusi GTA

Gabungan NGO perjuangkan hak peniaga kecil tertindas menerusi GTA

BANTING: Gerakan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menerusi Gerakan Tanah Air (GTA) bertegas akan memperjuangkan hak peniaga-peniaga kecil di Malaysia yang tertindas.

Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya akan membawa isu besar melibatkan peniaga-peniaga kecil ini dan meletakkannya di bawah manifesto GTA.

Menurutnya, beliau melihat kebanyakan peniaga ini ditindas oleh pihak penjawat awam seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita lihat apabila satu kawasan bandar ini, contohnya bandar kecil, apabila peniaga pasar malam mula teroka, peniaga-peniaga kecil dan penjaja mula berniaga dan sebagainya.

“Apabila nak berlakunya pembangunan, kontraktor-kontraktor besar ini bersubahat dengan PBT atau pun orang politik tertentu, akhirnya peniaga-peniaga dihalau begitu sahaja,” katanya dalam sidang media di Hotel Garden, Banting pada Ahad.

Untuk rekod, IKHLAS sah menyertai GTA pada September lalu dan bergerak sebagai NGO yang dikenali sebagai kumpulan penggerak GTA.

Tambah Mohd Ridzuan, pihaknya akan mengesyorkan kepada GTA supaya mewujudkan satu manifesto khususnya untuk memperjuangkan nasib 1.6 juta peniaga-peniaga kecil di seluruh Malaysia.

“Kita nak mewujudkan satu akta suruhanjaya penjawat awam, di mana hari ini kita lihat, apabila penjawat awam itu buat silap atau pun salah guna kuasa, mereka akan dipindahkan ke dalam negeri itu sahaja.

“Kita nak wujudkan akta baharu ini apabila GTA tubuh kerajaan baharu, kita akan laksanakannya supaya mana-mana penjawat awam ini kalau buat salah guna kuasa, kita tukarkan pergi ke Sabah, Sarawak.

“Kita nak wujudkan perkara ini supaya penjawat awam ini tidak akan rasa dia berkuasa sangat dan dia boleh buat apa-apa pun,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor