HomeBeritaAngkasapuri Kota Media perlu dimanfaatkan penggiat industri kreatif, agensi penyiaran swasta

Angkasapuri Kota Media perlu dimanfaatkan penggiat industri kreatif, agensi penyiaran swasta

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berharap kemudahan di Angkasapuri Kota Media dimanfaatkan oleh penggiat industri kreatif dan agensi penyiaran swasta negara.

Beliau berkata, kemudahan tersebut tidak hanya eksklusif untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) tetapi juga terbuka kepada agensi media lain.

“Kita berharap artis-artis berkarya dan juga menggunakan kemudahan yang disediakan dan begitu juga penggiat industri kreatif dan penyiaran akan manfaatkan kemudahan sepenuhnya, jangan jadi gajah putih,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Annuar juga berharap Angkasapuri Kota Media akan menjadi pemangkin dan pencetus produktiviti kepada petugas RTM dan bekerja dalam suasana yang lebih kondusif.

Ia juga diharap akan meningkatkan kreativiti kerana kemudahan dan teknologi penyiaran yang terdapat di kompleks berkenaan antara yang tercanggih di negara ini, katanya.

Projek Angkasapuri Kota Media telah bermula secara rasminya pada Disember 2016.

Dengan kos keseluruhan berjumlah RM860 juta, bangunan yang baharu beroperasi ini mempunyai 18 tingkat merangkumi ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga studio TV (M1, M2 dan M3), ruang parking bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor