HomeBeritaBayi perempuan 8 bulan digigit di muka, dipulas telinga, pengasuh direman empat...

Bayi perempuan 8 bulan digigit di muka, dipulas telinga, pengasuh direman empat hari

AMPANG JAYA: Polis menahan reman seorang pengasuh kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan bulan yang mengalami kesan gigitan di muka serta pulas di kedua-dua telinga selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, reman ke atas pengasuh yang berusia 43 tahun itu dilakukan bagi membantu siasatan susulan laporan polis dibuat ibu mangsa pada Jumaat lalu.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh ibu mangsa yang berusia 32 tahun berkerja sebagai pegawai mendapati terdapat kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan di kedua-dua telinga anaknya.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Farouk, hasil siasatan polis mendapati suspek turut mempunyai enam orang lagi anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun.

“Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 16 tahun serta lapan tahun,” ujarnya.

Tambahnya, suspek telah bertindak meninggalkan mangsa dengan keluar dari rumah  bersama anak asuhan yang lain dan dipercayai anak asuhan lain telah menggigit muka mangsa.

Menurutnya lagi, suspek telah direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Ampang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor