HomePendidikan32,600 pelajar B40 terima bantuan JPKM

32,600 pelajar B40 terima bantuan JPKM

KUALA LUMPUR: Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022 telah membantu kira-kira 32,600 pelajar daripada golongan B40 melanjutkan pengajian ke universiti awam dan swasta tahun ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, inisiatif Perdana Menteri itu memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian.

Inisiatif kerajaan dalam membantu pelajar daripada golongan B40 termasuk penduduk luar bandar di 35 Parlimen setakat ini mendapat sambutan menggalakkan.

“Matlamat program ini adalah bagi membolehkan pelajar yang memiliki kelulusan ditawarkan tempat di universiti awam atau swasta,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Unitar, UPNM dan Prihatin serta Penyerahan Sumbangan Kepada Anak-Anak Wilayah Persekutuan di Universiti Antarabangsa Unitar di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Unitar Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.

Pada majlis berkenaan, Jalaluddin turut menyaksikan MOU tiga penjuru antara Unitar, UPNM dan Prihatin yang diadakan bertujuan untuk membangun, menyokong serta memperkayakan pembangunan penyelidikan selain pendidikan tinggi bagi memacu pertumbuhan negara.

Dalam pada itu, Mohd Aizuddin Mohd Ghazali berkata, seramai 2,000 pelajar dalam kalangan B40 di Wilayah Persekutuan yang berjaya menyambung pengajian menerima bantuan perbelanjaan dan komputer riba dari Prihatin dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Dalam program ini kami memerlukan lebih ramai penyumbang selain MAIWP.

“Kita tidak mahu ada lagi anak-anak tercicir daripada mendapat pelajaran, yang utama keperluan asas mereka disediakan,” katanya.

Author

Pilihan Editor