HomeBeritaPolitikBekas MPT Bersatu dan bekas 'orang kuat' Ismail Sabri sertai PKR

Bekas MPT Bersatu dan bekas ‘orang kuat’ Ismail Sabri sertai PKR

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaan dua ahli baharu ke dalam parti, iaitu Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan Mohamed Jidi Yaakob.

Pengumuman tersebut dibuat dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, pada Khamis.

Rais Hussin merupakan bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan juga antara pengasas parti Bersatu.

Mohamed Jidi pula pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO Bera yang membantu kemenangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurut Rais Hussin, beliau tidak lagi aktif di dalam Bersatu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

“Walaupun saya bukan lagi ahli Bersatu, saya akan giat meneruskan perjuangan saya untuk Malaysia yang lebih baik dalam membantu lebih ramai rakyat.

“Ini berdasarkan lima prinsip teras, iaitu reformasi, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah (pendekatan seimbang secara adil),” kata Rais Hussin.

Mohamed Jidi pula berkata, keputusannya menyertai PKR atas dorongan hala tuju Bersatu yang dilihat semakin menyimpang daripada objektif dan matlamat utama penubuhan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin ini pendirian dia suka berubah-ubah seperti cuaca, selepas mengambil tindakan menggunakan kerajaan pintu belakang.

“Saya ambil masa hampir dua hingga tiga bulan sebelum menyertai PKR bagi mendapat pandangan. Saya akan berkhidmat untuk rakyat,” kata Mohamed Jidi.

Author

Pilihan Editor