HomeBeritaBN pertaruh pemimpin NGO, Arabath Ali di Parlimen Batu?

BN pertaruh pemimpin NGO, Arabath Ali di Parlimen Batu?

SENTUL: Barisan Nasional (BN) memahami keselesaan rakyat bersama pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berbanding politik sementelah golongan ini fokus kerja hariannya adalah kebajikan rakyat

Faktor itu antara punca berkemungkinan besar BN akan meletakkan 70 peratus wajah baharu sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 dari kalangan pemimpin NGO.

Mereka dikenali pengundi sama ada dari kawasan bandar sehingga jauh di pelusuk desa kerana kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19, banjir dan tanah runtuh.

Pemimpin NGO, Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali juga antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Parlimen Batu.

Lebih 30 pertubuhan di bawahnya sedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi membantu memenangkan BN di parlimen berkenaan.

Arabath berkata, di Parlimen Batu ini banyak sangat masalah dihadapi golongan B40 tetapi luahan mereka tidak sampai ke tahap pembuat dasar.

“Ini kerana mereka lebih selesa dengan NGO berbanding orang politik, rasa lebih dekat menjadikan porfolio NGO lebih diminati daripada wakil rakyat.

“Khidmat NGO naik taraf sosio ekonomi, bantuan kebajikan bersasar, jika hendak berkhidmat lebih mendalam, perlukan politik, tanpa politik kita tidak akan kekal berkhidmat membantu masyarakat,” katanya kepada media di Sentul, di sini.

Terdahulu Arabath hadir ke Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan/ NGO/ Komuniti.

Dalam pada itu, katanya walaupun beliau aktif dalam NGO sehingga kini, namun pemimpin India Muslim itu sedia diangkat sebagai calon BN untuk merampas Parlimen Batu daripada Pakatan Harapan (PH).

“NGO lebih dekat dengan rakyat, lebih banyak buat kebajikan rakyat, kadang-kadang orang politik tak buat kerja, masa musim pilihan raya baru nak buat kerja?

“Saya sudah laksanakan lebih 250 misi bantuan, termasuk program kebajikan, pendidikan dan sosio ekonomi di Parlimen Batu,” katanya.

Beliau berasal dari Selangor, seorang akauntan dan ahli perniagaan khususnya pengusaha pakej perkahwinan.

Moto hidupnya adalah mengutamakan masyarakat tanpa melihat perbezaan agama, bangsa.

Author

Pilihan Editor