HomeGaya HidupDaerah Bau memiliki aura antarabangsa

Daerah Bau memiliki aura antarabangsa

Oleh: ARRIAN ZAYNE

BAU: Pesta Tasik Biru berupaya mengangkat nama Sarawak di mata dunia kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Justeru beliau mencadangkan pesta tempatan itu dianjurkan dalam skala besar kerana lokasi pinggir Kuching itu memiliki aura antarabangsa.

Menurutnya, daerah Bau mempunyai produk pelancongan yang harus dioptimumkan.

“Daerah Bau yang terangkum dalam Greater Kuching bukan hanya gah pada nama sahaja tetapi ia harus menjadi hebat,” katanya.

Rundi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2022 pada Ahad.

Sementara beliau juga menekankan bahawa sektor pemasaran bagi mengangkat Daerah Bau perlu dipertingkatkan agar terus dikenali ramai terutama dalam kalangan pelancong luar negara.

Rundi mahu Daerah Bau menikmati transformasi pembangunan tidak sekadar tertumpu di persekitaran Tasik Biru, namun diperluaskan lagi di kawasan lain.

Terdahulu majlis menyaksikan acara penyerahan plak Memorandum Persefahaman (MoU) kepada 18 kelab, persatuan dan institusi untuk kerjasama bermula tahun ini hingga 2024.

Difahamkan Pesta Tasik Biru dipecahkan kepada enam kluster penganjuran iaitu pelancongan bertanggungjawab, kelestarian pelancongan, sukan warisan rakyat dan keutuhan belia, kebudayaan khazanah komuniti, Bau kitchen food heaven dan pemangkin masyarakat.

Pecahan kepada enam kluster tersebut juga sejajar dengan elemen Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) di bawah tiga teras utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar yang diyakini mendatangkan impak besar, bukan hanya untuk penduduk di Bau tetapi kawasan sekitar.

Author

Pilihan Editor