HomeBeritaPolitikDua-dua tak boleh pakai, Noh sindir Amirudin, Azmin

Dua-dua tak boleh pakai, Noh sindir Amirudin, Azmin

BANGI: “Dua-dua tak boleh pakai, seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak berkurang, masuk tidak memenuhi,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan mantan MB Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Noh mengulas ‘drama sindir menyindir’ antara pemimpin PKR dan pemimpin Bersatu itu apabila Amirudin mendakwa prestasi Selangor lebih baik setelah Azmin meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018.

“Sebenarnya dua-dua tidak boleh pakai, dua-dua sepatutnya ditukarkan sahaja.

“Saya orang Selangor, apa sahaja kebanggaan yang orang Selangor boleh bangga?

“Rekod pencapaian mereka (PH dan PN) adalah peningkatan kes demam denggi akibatkan kematian, isu stadium, isu gangguan bekalan air, isu banjir kilat lagi yang tak selesai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Terdahulu, program JMKM adalah inisiatif kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan pengurangan harga sehingga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa setempat di 639 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bermula 15 Ogos lalu.

JMKM diperluaskan ke 20 Universiti Awam (UA) bermula hari ini dengan jenama JMKMSiswa bertujuan untuk meringankan kos sara hidup mahasiswa.

Pelaksanaan JMKMSiswa melibatkan 13 Kedai Koperasi di kampus induk UA dan tujuh Pusat Keusahawanan Universiti Awam bagi UA yang tidak mempunyai Kedai Koperasi.

Berbalik kepada isu pencapaian PH di Selangor, Noh menjelaskan, dahulu BN bina projek tebatan banjir skala besar Canal City tetapi mereka bubarkan, bukit ditarah, kilang haram berlambak, isu kecurian pasir, bukit yang ditarah sana sini.

“Dalam mesyuarat Pembangunan Tindakan Negeri, saya hadir saya tanya, tolong beritahu saya apa punca banjir?

“Mengapa tiba-tiba banjir mereka tidak boleh jawab.

“Dahulu kerajaan negeri bantah projek Langat 2. Ini projek Persekutuan untuk bantu tangani isu banjir di Selangor, berapa juta sudah serah kepada Selangor, ini yang dibuat demi kepentingan rakyat bukan parti semata-mata,” katanya.

Tambah beliau, banyak hikmah apa yang berlaku kepada negara kita ketika ini.

“Rakyat boleh menilai sendiri 22 bulan PH buat apa? 17 bulan PN buat apa?

“Pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bukti campur tangan kuasa yang dahsyat dalam sistem kehakiman dan undang-undang negara.

“BN tidak campur tangan kerana itu tempat hak rakyat untuk dapat keadilan tetapi mereka hari ini menang terus esoknya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan, ikut peraturan atau tidak?

“Mereka apabila diberi kuasa, suka hati dibuatnya sehingga Ketua Pesuruhjaya SPRM pun mereka letak orang politik yang tidak pernah berkhidmat di SPRM atau BPR.

“Peguam Negara, Ketua Hakim Negara habis semua mereka tukar beri lantikan politik, ini bukan cerita rekaan kerana mereka sendiri dedahkan, ini semua hikmah.

“Jika rakyat tidak nampak lagi dan beri lagi kuasa mereka memerintah, saya bimbang banyak lagi yang akan tergadai,” katanya.

Author

Pilihan Editor