HomeBeritaGagasan Belia serah memorandum bantah RUU GEG

Gagasan Belia serah memorandum bantah RUU GEG

KUALA LUMPUR: Satu penyerahan memorandum membantah akta kawalan rokok dan vape, iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) dilakukan aktivis NGO, Gagasan Belia di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur sekitar jam 10 pagi pada Rabu.

Menurut Gagasan Belia, akta tersebut perlu dibantah kerana kuasa penguatkuasaannya yang terlalu besar, menjenayahkan kanak-kanak dan menjejaskan golongan rakyat miskin.

Aktivis Gagasan Belia, Mohammad Alshatri merujuk kenyataan Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi bahawa akta itu berkemungkinan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang boleh dikatakan satu tindakan berbentuk diskriminasi.

“Kami menggesa supaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) GEG supaya melakukan perbincangan dengan Majlis Peguam Malaysia dan mengeluarkan laporan menyeluruh tentang isu keperlembagaan RUU GEG.

“RUU yang dicadangkan ini merupakan kuasa kepada pihak kerajaan untuk mendakwa sesetengah rakyat berdasarkan perbezaan tarikh lahir mereka semata-mata dan perkara ini belum pasti terletak di bawah di bawah doktrin pengkelasan munasabah seperti yang pernah diutarakan badan penghakiman,” katanya.

Tambahnya, RUU ini terlalu fokus kepada penjenayahan merokok dan tidak memberi tumpuan kepada penyelesaian faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah ketagihan di kalangan masyarakat.

“Penggubalan dasar seperti ini bukannya akan mengurangkan kadar perokok di Malaysia tetapi akan membuahkan masalah yang lebih hebat keburukannya seperti kerosakan akhlak dan hidup anak muda, hanya kerana terpalit dengan hukuman jenayah di bawah RUU GEG ini semata-mata,” katanya lagi.

Turut hadir bersama menyerahkan memorandum bantahan tersebut ialah wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar dan wakil Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Samsul Kamal Ariffin.

Antara Ahli Parlimen yang hadir menerima memorandum tersebut ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Mariah Chin Abdullah; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tungau dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Author

Pilihan Editor