HomeBeritaGangguan air, banjir kilat, denggi rekod terbaik PH di Selangor?

Gangguan air, banjir kilat, denggi rekod terbaik PH di Selangor?

AMPANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pandan, Datuk Leong Kok Wee menyanggah kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa pencapaian terbaik mereka selama tiga penggal di Selangor.

Kok Wee mempersoalkan bagaimana mereka boleh mendabik dada sedemikian sedangkan isu gangguan bekalan air gagal diselesaikan yang menyusahkan rakyat saban tahun.

“Pelabur asing kebanyakannya ‘lari’ ke Johor kerana isu gangguan air, banjir kilat, kes demam denggi yang menjuarai carta dan ketidakstabilan politik di Selangor.

“Mereka pilih Johor yang lebih stabil, jadi bagaimana PH boleh katakan Selangor pencapaian mereka yang terbaik?

“Selama 14 tahun bawah PH tidak pernah bina rumah kos rendah, yang ada dibina rumah kos lebih RM200,000, bagaimana PH boleh kata mereka utamakan rakyat?

“Sebanyak 56 peratus kes demam denggi serius adalah di Selangor yang akibatkan kematian, lebih ramai mati demam denggi berbanding kes pandemik, saya tidak faham bagaimana PH kata prestasi mereka bagus?,” soal beliau kepada pemberita selepas melancarkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pandan yang dihadiri 285.

Majlis itu dilancarkan Ketua UMNO Bahagian Pandan, Datuk Jamaluddin Ropa.

Tambah Kok Wee, kerajaan PH di Selangor membeli 2.5 juta dos vaksinasi tetapi hanya 500,000 dos yang diberikan percuma manakala 2 juta dos lagi mereka jual.

“Adakah itu nilai keprihatian mereka kepada rakyat yang sedang kesusahan hilang kerja ketika PKP, bagaimana mampu beli RM399 untuk satu dos bagi mencegah pandemik menakutkan itu?

“Mujurlah selepas teraju kepimpinan kembali kepada BN, kerajaan melantik Menteri Kesihatan Malaysia dari BN yang telah melaksanakan program vaksinasi percuma kepada rakyat yang menjadikan kes jangkitan dan kematian menurun.

“Itu belum masuk kes banjir kilat kerana kontraktor lantikan PH tidak ikhlas membersih longkang, jaga pengaliran air agar tidak tersumbat dan berlaku limpahan air, zaman BN dahulu setiap minggu bersih longkang.

“Kilang haram, isu alam sekitar dan pembalakan haram sehingga botak bukit bukau di Selangor, perkara itu tidak tersenarai dalam rekod pencapaian PH kah?” katanya.

Author

Pilihan Editor