HomePendidikanGuru TikTok kembang minat pelajar

Guru TikTok kembang minat pelajar

KUALA LUMPUR: Budaya mengajar menerusi platform TikTok menghasilkan guru-guru TikTok dan sebahagiannya menarik minat pelajar untuk memahami sesuatu subjek.

Pengerusi Majlis Anugerah Pendidik Paling Berpengaruh Malaysia, Tiffany Tan berkata, segelintir guru TikTok ini tidak memiliki latar belakang pendidikan tetapi berkongsi sesuatu ilmu pengetahuan kepada orang ramai.

“Contohnya TikTok guru mengajar mengenai cara memeriksa kereta yang rosak, mengenai kepentingan insurans, keselamatan dan lain-lain.

“Kaedah ini menarik minat pelajar dalam pelajaran atau sesuatu kemahiran.

“Kita tidak boleh henti budaya atau teknologi seperti ini yang sedang berkembang tetapi sebagai ibu bapa perlu memberi bimbingan kepada anak-anak apa yang betul atau tidak, apa yang boleh dibuat dan tidak.

“Ini kerana jika buat perkara tak boleh akan beri kesan kepada diri sendiri, disiplin diri amat penting,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Penghargaan kepada 147 Warga Pendidik dari pelbagai bidang di seluruh negara.

Majlis anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara itu dirasmikan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri, Dr Nik Adi Sukiman Nik Ahmad Fauzi yang bermatlamat pendidikan adalah isu penting bagi kehidupan, negara dan juga manusia.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pendidikan, Heizrul Ali, Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Dalam Negeri, Abdul Razak Junaidi dan Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Selangor, Nurul Azhar Husin.

Dalam pada itu, tambahnya kadang-kadang anak-anak lebih mudah menurut kata menerusi guru TikTok berbanding ibu bapa.

“Pengaruh media sosial amat besar dalam aspek pendidikan namun manfaatkan sepenuhnya kerana ia menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan hala tuju generasi hari ini.

“Pendidik yang cemerlang adalah berjiwa besar, berperibadi mulia, berani pikul tanggungjawab, tidak mementingkan diri, semangat untuk membimbing serta menyerlahkan potensi dalam diri anak-anak.

“Tingkah laku ibu bapa serta guru selalunya direfleksikan secara langsung pada anak-anak didik mereka,” katanya.

Author

Pilihan Editor