HomeBeritaIJM Land santuni enam keluarga kurang berkemampuan, beri sinar Deepavali

IJM Land santuni enam keluarga kurang berkemampuan, beri sinar Deepavali

 

CYBERJAYA: Sempena sambutan Deepavali yang bakal diraikan masyarakat India pada minggu depan, IJM Land Berhad (IJM Land) mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Deepavali Charity Cheer.

Susulan itu, enam keluarga yang menetap di Seremban, terdiri daripada masyarakat India menerima sumbangan wang sebanyak RM1,000 serta barangan runcit bernilai RM600 daripada IJM Land bagi memastikan mereka juga dapat menikmati dan menghayati sinaran Diyas semasa perayaan Deepavali tanpa perlu memikirkan kos untuk persiapan perayaan pada tahun ini.

Pengurus Besar Kanan IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, pihaknya komited dalam menjayakan misi kali ini sekali gus meringankan beban mereka yang bakal meraikan hari perayaan Deepavali tidak lama lagi.

“Keluarga yang kami hubungi memainkan peranan sokongan dalam masyarakat setempat. Justeru, sumbangan mereka kepada masyarakat sebagai pekerja kolar biru patut dihargai.

“Kami sentiasa mengambil berat terhadap keluarga-keluarga di Seremban kerana kami percaya terdapat ramai individu yang sentiasa bekerja keras bukan sahaja untuk menyara keluarga mereka tetapi juga untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.

“Sejajar dengan semangat Deepavali, kami berharap untuk memupuk sifat murah hati dan kesejahteraan keluarga agar mereka dapat menyambut musim perayaan dengan penuh kebahagiaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Untuk rekod, IJM Land amat aktif dalam menjayakan misi bantuan khususnya dalam kalangan masyarakat di Seremban sejak 2010.

Selain Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, atau Deepavali, IJM Land sentiasa mengingati masyarakat setempat dengan melancarkan pelbagai program amal kemasyarakatan seperti Home Rehabilitation Programme (myHome), Program Mesra Ramadan, Deepavali Charity Cheer Programme, Bantuan Baucar Sara Hidup, Preschool Subsidy Programme, Helping Hands: Homes Initiative, dan banyak lagi untuk membantu komuniti di Negeri Sembilan.

Author

Pilihan Editor