HomeBeritaKakak maut, adik cedera parah dirempuh pemandu mabuk

Kakak maut, adik cedera parah dirempuh pemandu mabuk

KAJANG: Seorang kakak maut manakala adik perempuannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang berada dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kaunter aduan pejabat pertanyaan Balai Polis Trafik Kajang menerima panggilan berkenaan kemalangan tersebut sekitar jam 8.15 malam pada Sabtu.

Menurutnya, kejadian berlaku di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat melibatkan satu kereta melanggar dua pejalan kaki dan beberapa buah kereta.

Jelas Mohd Zaid, dalam kejadian ini pemandu kereta dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat Kajang.

“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu kereta terbabit melanggar dua wanita yang sedang melintas jalan kemudian melanggar dua kereta yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.

“Akibat daripada kemalangan itu seorang mangsa yang dilanggar mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang manakala seorang lagi mangsa cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta itu dibawa balik ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.

“Hasil ujian yang dijalankan terhadap pemandu kereta adalah positif di bawah pengaruh alkohol,” katanya lagi.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar bagaimana kemalangan berlaku, sama ada terdapat unsur lain, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan di Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan.

Author

Pilihan Editor