HomeBeritaKejayaan Malaysia dalam bidang keselamatan sosial, Dr Mohammed Azman jadi Presiden ke-17...

Kejayaan Malaysia dalam bidang keselamatan sosial, Dr Mohammed Azman jadi Presiden ke-17 ISSA

CYBERJAYA: Pengiktirafan buat Malaysia apabila Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dipilih sebagai Presiden International Social Security Association (ISSA) yang ke-17.

Perkeso dalam satu kenyataan media memaklumkan, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi itu dalam menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

Azman yang akan mengemudi ISSA selama tiga tahun itu turut menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Bagi saya, pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, dan semua warga Perkeso kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa.

“Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia turut mencatatkan pengiktirafan berganda dalam persidangan tersebut apabila Kuala Lumpur telah diterima sebagai tuan rumah bagi Persidangan Agung ISSA serta WSSF ke-7 yang akan diadakan pada tahun 2025.

Susulan itu, Perkeso telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ISSA sebagai tuan rumah persidangan dan forum yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara.

“Dengan mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2022-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Agung ISSA ke 35 dan WSSF 2025, adalah diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini,” maklum Perkeso.

 

Author

Pilihan Editor