HomeSukanPakaian sukan perlu dipandang aspek keselamatan bukan mencolok mata

Pakaian sukan perlu dipandang aspek keselamatan bukan mencolok mata

AMPANG: Orang ramai hanya melihat atlet dan individu berpakaian sukan mencolok mata, hakikatnya etika pakaian juga memberi kesan besar kepada sesetengah jenis sukan.

Pakaian antara faktor penyumbang keselamatan dan prestasi berkesan kepada sukan yang memerlukan tenaga yang banyak pada tahap optimum tanpa sebarang gangguan.

Pengayuh tegar dan pengusaha pakaian berbasikal, Hizam Chik Mamu berkata, sukan berbasikal memerlukan atlet mengikut etika berpakaian pada sudut sains sukan dan aerodinamik terutamanya aspek keselamatan.

“Jika lihat kategori pakaian pada sudut sains sukan, fokus pakaian sukan berbasikal, bukan ketat menonjol tetapi lebih kepada keselamatan dan aerodinamik.

“Kalau berpakaian baju kebaya, kelawar, tak sesuai, sebab sukan berbasikal lebih kepada aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Melaka International Tourism Endurance 2022 (MITEN2022), di Hotel Grand Barakah di sini pada Jumaat.

Hizam berkata, etika pakaian berbasikal juga bergantung kepada jarak perjalanan contohnya bagi 100 kilometer (km).

“Untuk jarak jauh, ia agak berbahaya. Berisiko pada aspek keselamatan seperti seluar besar ‘track suit’ gelebeh, masuk rantai kayuh, kemudian jatuh dan kemalangan.

“Kita tak kata ia (pakaian ketat bersukan) terpaksa, tetapi ia perlu mengikut sudut sains dan aerodinamik,” katanya.

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga sebelum ini pernah menjelaskan, beliau lebih memikirkan soal keselamatan dan kesesuaian dalam berpakaian ketika menjalani aktiviti mengayuh basikal.

Katanya, keselamatan harus diutamakan kerana sebarang kesilapan dalam berpakaian boleh menyebabkan kecederaan.

Author

Pilihan Editor