HomeBeritaKPLB biayai RM114 juta perkasa ekosistem usahawan desa

KPLB biayai RM114 juta perkasa ekosistem usahawan desa

KUALA NERANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana lebih RM114 juta tahun depan bagi menyediakan ekosistem kepada usahawan luar bandar meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Peruntukan itu bagi menyokong perkembangan 64,000 usahawan luar bandar di bawah KPLB di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), antara inisiatif KPLB untuk memperkasakan ekosistem sedia ada untuk usahawan terlibat.

“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

“Melalui program itu juga KPLB dapat mengumpul maklumat dan maklum balas daripada usahawan luar bandar mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang dilaksanakan oleh agensi di KPLB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Mini KUD Padang Terap di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.

Antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Turut terlibat, agensi wilayah iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Sementara itu, Mini KUD Padang Terap mencatatkan nilai jualan tunai lebih RM200,000 dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu.

“Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000, jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan atau “business matching” nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM450,000,” kata Mahdzir.

Tambah beliau, elemen penting penganjuran Mini KUD adalah sebagai platform mempromosi kemudahan serta inisiatif yang disediakan KPLB dan agensinya bagi membantu usahawan luar bandar.

”Program ini juga menjadi salah satu medium untuk mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

“Selain meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” katanya.

Mahdzir berkata, kumpulan sasar bagi mini KUD ini adalah usahawan luar bandar yang telah mendapat bimbingan Kementerian, agensi dan usahawan berpotensi yang memerlukan khidmat nasihat dalam meningkatkan produktiviti dan pengembangan perniagaan.

“Program ini melibatkan penyertaan Bahagian di KPLB dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan serta pembiayaan kewangan kepada usahawan luar bandar,” katanya.

Lebih 100 usahawan menyertai Mini KUD Padang Terap daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian.

Turut serta penjual masakan panas, penjaja kecil yang menjual pelbagai makanan dan minuman dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Padang Terap.

Mini KUD edisi keempat tahun ini menyaksikan penglibatan enam agensi di bawah KPLB iaitu MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, JAKOA dan KEDA.

Mini KUD Padang Terap juga dimeriahkan dengan pemberian baucer jualan bernilai RM15,000 yang diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk menambah jualan usahawan yang menyertai karnival tiga hari itu.

Paling mencuri tumpuan pengunjung adalah sesi jualan murah beg beras 5 kilogram dan seekor ayam berharga hanya RM10.

Jualan murah itu dilaksanakan selama tiga hari dengan jumlah 1,000 beg beras dan 1,000 ekor ayam hari pertama dan kedua, manakala 2,000 pek pada hari ketiga.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 1,032 usahawan desa bernilai lebih RM5.1 juta.

Manakala 11 usahawan menerima bantuan penyediaan warung desa dan peralatan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bernilai RM110,000.

Turut Hadir Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Abdul Ghani @ Zulkifli Zainuddin.

Author

Pilihan Editor