HomeBeritaZakat instrumen terbaik basmi kemiskinan

Zakat instrumen terbaik basmi kemiskinan

GOMBAK: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuktikan dana zakat adalah instrumen terbaik dalam membasmi kemiskinan, khususnya dalam program pembangunan pendidikan.

Selain pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi adalah program yang diperincikan daripada bantuan MAIWP dalam usaha berterusan membantu melahirkan lebih ramai asnaf berjaya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, sebanyak RM117 juta diperuntukkan untuk bidang pendidikan setakat September tahun ini.

“Pendidikan adalah bajet terbesar daripada keseluruhan pengagihan zakat di MAIWP, ini termasuk bantuan wang sara hidup, beg sekolah, cermin mata, laptop, buku, isu kecemasan dan kesihatan.

“Semua bantuan ini cukup untuk mereka belajar dengan tenang, dan tak perlu fikir tentang masalah buku, peralatan, pakaian sekolah semua. Kita juga beri bantuan asnaf di peringkat politeknik, kolej profesional baitulmal kuala lumpur (KPBKL) dan universiti,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Darul Kifayah 2022, di Kompleks Darul Kifayah, di sini.

Yang turut hadir, Pengetua Darul Kifayah MAIWP, Abdul Rauf Abdul Aziz dan calon P118 Parlimen Setiawangsa, Nurul Fadzilah Kamaluddin.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Muda Bersatu kini Ahli Jawatankuasa Kompleks anak yatim Darul Kifayah dan Rumah Perlindungan wanita Dar As Saadah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menariknya, beliau juga merupakan bekas pelajar atau alumni di sekolah tersebut dan kini bergiat aktif dengan kedua-dua institusi ini.

Beliau berkata, bantuan biasiswa dinamakan Dermasiswa turut diberikan kepada golongan asnaf yang mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mengulas lanjut, Mohd Daud berkata, MAIWP turut memperluaskan takrifan bantuan golongan B40 berdasarkan konsep adil dan seimbang.

“Rata-rata masih memberikan bantuan kepada takrifan (B40) RM2,000 tetapi kita tingkatkan RM3,800 berdasarkan tanggungan, dan kita lihat aspek kualitatif dan kuantitatif,” katanya.

Jadi, jelas, MAIWP secara berterusan sentiasa meningkatkan aktiviti pemantauan bagi memastikan bantuan yang diberikan, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah taraf kehidupan asnaf kepada yang lebih baik.

Author

Pilihan Editor