HomePendidikanKPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

KPM cari pendekatan menyeluruh selesai isu kantin di sekolah padat

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mencari pendekatan untuk menyelesaikan isu kantin di sekolah dengan jumlah pelajar yang ramai, sehingga sesetengah sekolah terpaksa menjadualkan lima sesi waktu rehat, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, sekolah dengan jumlah murid yang ramai tidak dapat menampung bilangan murid yang datang secara serentak dan memerlukan beberapa sesi, sehingga ada sesetengah sekolah yang terpaksa melaksanakan sesi rehat sebanyak lima kali.

Menurutnya, situasi tersebut terjadi kerana sekolah yang mengalami kepadatan murid tetapi kantinnya hanya mampu menampung kapasiti asal, yang ruangnya tidak ditingkatkan selari dengan peningkatan kapasiti murid.

“Ada sekolah sebab kantin tidak dapat memenuhi keperluan untuk menempatkan murid sewaktu masa rehat maka sesi rehat dilaksanakan antara tiga hingga lima kali, menyebabkan waktu rehat di sesetengah sekolah bermula terlalu awal pada pukul 8.30 pagi. Kalau terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini.

Ditanya jika KPM akan mempertimbangkan kebenaran murid makan dalam bilik darjah terutama mereka yang membawa bekal dari rumah, Radzi berkata perkara itu memerlukan pemantauan yang menuntut penggunaan sumber manusia.

Jelasnya, kaedah itu pernah dilaksanakan sewaktu pandemik COVID-19 sedang memuncak, namun isu kantin itu memerlukan satu penyelesaian menyeluruh dan kekal untuk menangani situasi berkenaan. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor