HomeNiagaMajukan bisnes bersama AIM tanpa bimbang undang-undang

Majukan bisnes bersama AIM tanpa bimbang undang-undang

GOMBAK: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengambil langkah alternatif bagi membantu usahawan lebih berminat memajukan perniagaan tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Ini kerana tiada peruntukan undang-undang di bawah AIM di mana semua bayaran balik pinjaman lebih longgar berbanding pinjaman dibuat di institusi kewangan.

Timbalan Pengurus Wilayah Selangor/Kuala Lumpur AIM, Saipul Nizam Mat, berkata AIM adalah agensi yang tidak mengenakan tindakan undang-undang kepada peminjam skim pembiayaan.

Sebaliknya, katanya pihaknya sendiri yang bertungkus-lumus memastikan usahawan dapat membayar balik pinjaman secara telus dan sempurna.

“Syarat permohonan pembiayaan juga tidak terlalu remeh, kerana menumpukan pembayaran semula tanpa tindakan undang-undang.

“Permohonan kita tidak terlalu payah malah pengesahan permohonan modal juga tidak berlaku di AIM.

“AIM ini ‘special’ tiada tindakan undang-undang. AIM ni peminjam dia 99 peratus bayar balik, kerana kaedah kita buat pemantauan mingguan.

“Di AIM, kita buat pemantauan mingguan dalam tempoh sebulan, dan peranan ketua pusat, pengerusi perlu dalam usaha ini bagi memastikan bayaran balik secara sempurna,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Beliau berkata demikian pada program Bazar Pagi Rakyat di Kompleks Lincah Mahaguru Omar (KLMO) anjuran MPUKP Gombak, di sini.

Program berkenaan mendapat kerjasama AIM, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Gombak, Kelab Usahawan Gombak dan Kelab Usahawan Ikhtiar Selayang.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi Parlimen (MPUKP) Gombak merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Melayu Cawangan Gombak (PPPKM) Selangor, Erma Fatimah Hamid.

Saipul Nizam bagaimanapun mengakui ada pihak masih menyalahgunakan pinjaman meskipun mereka tidak dikenakan undang-undang.

“Ramai layak (memohon pinjaman) tetapi tidak semua yang boleh bersama-sama kita, memberikan komitmen.

“Sebab ada yang salah guna pinjaman. Kita tidak kenakan tindakan, tetapi kita tahu cara bayaran, kita pantau modal itu. Kalau salah guna, bulan depan tak mampu bayar dah,” katanya.

Beliau menambah, syarat asas permohonan adalah bermastautin di Gombak dan kadar faedah dikenakan adalah 10 peratus bagi setahun dengan had pinjaman RM30,000.

Untuk rekod, katanya seramai 3,000 usahawan di bawah AIM wilayah Gombak.

Author

Pilihan Editor