HomeBeritaMangsa banjir di Langkawi meningkat

Mangsa banjir di Langkawi meningkat

LANGKAWI: Kejadian banjir yang tercetus di daerah ini sejak Ahad lalu kini mencatat pertambahan mangsa apabila seramai 61 penduduk terpaksa dipindahkan, setakat jam 8.30 pagi hari ini.

Kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Syifa, Padang Matsirat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, mangsa di PPS ketika ini membabitkan 17 keluarga terdiri 34 lelaki dan 27 wanita.

“Daripada jumlah itu, seramai 27 lelaki dan 22 wanita terdiri mangsa dewasa, manakala tujuh lelaki dan lima perempuan membabitkan kanak-kanak.

“Mereka dari lima kampung iaitu Kampung Atas, Limbung Putra, Buluh Penyumpit, Bukit Kemboja dan Bohor Masjid,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Rabu.

Ahmad Shahfikri berkata, pertambahan 12 mangsa pada hari ini membabitkan Kampung Bohor Masjid berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan hujan berterusan sejak semalam.

“Ramalan cuaca hari ini dijangka hujan renyai pada sebelah petang, manakala petang dijangka cerah dan hujan di satu dua tempat pada sebelah malam.

“Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) di talian 04-9611474 sentiasa beroperasi untuk menerima panggilan kecemasan berkaitan rumah dinaiki air, pokok tumbang dan tanah runtuh,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor