HomeBeritaPolitikDr Abd Latiff cabar Ismail Sabri cipta sejarah, pecat Kabinet masa 'injury'

Dr Abd Latiff cabar Ismail Sabri cipta sejarah, pecat Kabinet masa ‘injury’

CYBERJAYA: Mungkin Perdana Menteri kerajaan ‘caretaker’, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mencipta sejarah dengan memecat anggota Kabinet dalam masa ‘injury time’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Dr Abd Latiff berkata demikian susulan Perdana Menteri ke-9 (PM9) sebelum ini mengeluarkan kenyataan secara ‘gurauan’ dengan mengatakan beliau berhak membubarkan Kabinet atau ‘memecat’ kesemua menteri ekoran tindakan 12 menteri yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat bantahan.

Dr Abd Latiff yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Mersing turut menegaskan bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan dikeluarkan oleh Ismail Sabri ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran Barisan Nasional (BN) di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Isnin.

“Semua keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri adalah konsensus, sebulat suara selama 14 bulan di bawah kepimpinan PM9. Kita tidak pernah mengundi untuk menentukan apa jua keputusan.

“Kabinet hanya bincang perkara dasar dan polisi untuk rakyat. Kita tidak bincang hal-hal politik berparti.

“Kita berbincang hal persediaan pilihan raya bersekali dengan persediaan bencana, Monsun Timur Laut (MTL) dan persediaan Bajet 2023,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Pertahanan itu turut menzahirkan kekecewaan apabila Ismail Sabri tidak pernah meminta mandat berhubung tarikh pembubaran Parlimen bersama dengan anggota Kabinet.

“Cuma (perkara PRU15) PM9 tidak pernah untuk beliau meminta mandat daripada anggota Kabinet mengenai tarikh pembubaran parlimen. PM9 ada menyatakan bahawa kita utamakan persediaan bencana, MTL dań kos barangan (ekonomi) daripada perkara PRU15,” katanya.

Mengulas lanjut berhubung tindakan Ismail Sabri mengatakan bahawa beliau berhak memecat Menteri Kabinet, Dr Abd Latiff akur selaku Perdana Menteri sememangnya beliau berkuasa.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak sewajarnya berkata demikian kerana setiap ahli Kabinet itu mempunyai maruah.

“Memang kita tahu Perdana Menteri mempunyai kuasa “hire and fire”, namun kami pun ada maruah, tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor