HomeBeritaNSRC sebagai pusat setempat tangani kes jenayah penipuan siber dengan segera

NSRC sebagai pusat setempat tangani kes jenayah penipuan siber dengan segera

 

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan membolehkan tindakan bersepadu dan segera bagi menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, NSRC telah ditubuhkan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 sebagai satu daripada inisiatif bagi menangani kes-kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

Beliau berkata NSRC merupakan pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa penipuan siber.

“Bagi membolehkan pihak NSRC mengambil tindakan yang berkesan khususnya untuk menyekat pengaliran dan pelupusan wang mangsa, mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber yang akan beroperasi 24 jam atau talian NSRC iaitu 997 yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata tindakan segera menghubungi pihak bank atau NSRC adalah sangat penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa selanjutnya daripada sistem perbankan.

Beliau berkata, bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan, mangsa perlu memberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami semasa menghubungi pihak bank atau NSRC antaranya maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek dan maklumat transaksi yang membawa kepada mangsa ditipu seperti nombor akaun dan nama bank mangsa dan suspek serta jumlah dana yang terlibat.

Menurut Wan Junaidi, orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui.

“Pihak NSRC, agensi-agensi berkaitan di bawah NSRC atau bank-bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor pengenalan peribadi (PIN), Kod Pengesahan Transaksi (TAC), kata laluan sekali sahaja (OTP) atau kata laluan.

“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan yang sewajarnya bagi mengesahkan keabsahan fakta-fakta jika dihubungi oleh pihak yang meminta maklumat berkenaan,” katanya.

Hubungi NFCC di talian 03-88613830, PDRM di talian 03-26101222 dan BNM di talian 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut mengenai NSRC. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor