HomeBeritaPolitikZahid sindir bekas ahli UMNO yang pernah desak beliau letak jawatan

Zahid sindir bekas ahli UMNO yang pernah desak beliau letak jawatan

CYBERJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menyindir bekas-bekas ahli UMNO yang pernah mendesak beliau meletak jawatan kemudiannya menyertai parti lawan.

Beliau dalam kenyataan di Facebooknya pada Jumaat, menyebut peristiwa beberapa pemimpin UMNO keluar parti sekitar empat tahun lalu yang berlaku beberapa bulan selepas UMNO tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, mereka mengugut supaya beliau meletak jawatan atau seramai 10 lagi pemimpin UMNO akan menyertai mereka keluar parti atas alasan beliau tiada hala tuju membawa UMNO mengadapi PRU15.

“Ketika mereka membuat desakan itu belum lagi menyertai Bersatu, tetapi mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Selepas muslihat itu gagal, dua bulan kemudian baru mereka secara rasmi menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

“Ironinya beberapa tahun kemudian mereka antara yang terlihat amat susah hati apabila UMNO minta PRU15 diadakan selepas proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos 2021.

“Sepatutnya mereka menyokong kerana UMNO telah pun membuktikan hala tujunya pada PRN Melaka, Johor dan juga hala tuju yang jelas untuk PRU15,” katanya.

Jelasnya, hala tuju UMNO untuk PRU15 sekarang adalah untuk kembali membentuk sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dominan demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Author

Pilihan Editor