AMPANG: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memastikan parti berada dalam kerajaan government of the day selepas Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata keupayaannya mampu membuat perubahan dasar kerajaan lebih baik jika penyandang Ahli Parlimen Ampang itu menang kerusi tradisinya, pada PRU15 tidak lama lagi.
“Sekiranya saya berada dalam kerajaan, saya mampu buat perubahan dari dalam (kerajaan), dari luar (turun padang) saya menyalaklah (bersuara).
“Saya harapkan saya berada dalam coalition (pakatan) yang boleh menjadi kerajaan, berada dalam kerajaan, menjalankan tugas dan meneruskan khidmat pada orang Ampang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat PBM, di sini.
Zuraida menyerahkan sebahagian daripada 50,000 keping pelitup muka kepada ahli yang hadir dan selebihnya untuk diedarkan kepada penduduk di Parlimen Ampang khususnya di tempat berkeperluan seperti hospital dan klinik, sekolah serta lapangan terbang.
Beliau juga menolak dakwaan menerima tekanan kerana menjadi satu-satunya wanita, dan yang pertama menerajui parti politik dalam negara.
“Ia bukan tekanan, pada saya advantage (kelebihan) bahawa seorang wanita memberikan sokongan kepada wanita Malaysia khususnya wanita Ampang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zuraida tidak mahu mengulas lanjut mengenai kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Sebaliknya, katanya, hanya menunggu keputusan PRU15.
“Saya tengok apa jadi dulu pada 19 haribulan (November depan),” katanya.