HomeBeritaPeguam SM Faisal tuntut pernyataan bertulis saksi sebelum prosiding

Peguam SM Faisal tuntut pernyataan bertulis saksi sebelum prosiding

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Jenayah 3 Kuala Lumpur hari ini membenarkan peguam mewakili jutawan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal untuk mendapatkan pernyataan bertulis daripada saksi sebelum memulakan prosiding.

Majistret, Nadia Othman menerima permohonan itu dari peguam bela Datuk Akberdin Abdul Kader ketika memanggil Elisa Nani Hanafi sebagai saksi pendakwaan keenam untuk pemeriksaan utama.

Akberdin telah memohon kepada Mahkamah, pernyataan bertulis saksi (Witness Statement) mengikut peruntukan Seksyen 402 (b) Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Selain itu, pihak pembelaan turut memohon satu tarikh pengurusan kes bagi penandaan ekshibit.

Peguam pemerhati mewakili mangsa Emilia, Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co memberitahu pihak media bahawa, pihak pendakwaan bersetuju untuk menyediakan pernyataan bertulis saksi kecuali Emilia Hanafi dan menyerahkannya sebelum tarikh perbicaraan seterusnya.

“Justeru pihak pendakwaan bercadang memanggil saksi seterusnya yang bersedia dan hadir pada hari ini iaitu Elisa Nani Hanafi bagi menjimatkan masa mahkamah” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Turut hadir, SM Faisal selaku orang kena tuduh (OKT).

Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 18 Oktober 2022 depan manakala tarikh perbicaraan seterusnya bagi mengemukakan keterangan bertulis bagi menyoal saksi Elisa pada 31 Oktober tahun sama.

Mahkamah turut menetapkan hujahan bertulis mengenai suatu isu undang-undang berbangkit dalam perbicaraan sebelum ini difailkan melalui sistem e-filing dan di e-mel ke kamar mahkamah, seterusnya hujahan balas perlu difailkan oleh peguambela pada tempoh sama.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Author

Pilihan Editor