KUALA LUMPUR: Pemimpin pelbagai parti politik hari ini, senada untuk terus memberikan komitmen mencapai sasaran 30 peratus wanita sebagai calon dalam pilihan raya sekali gus menambah bilangan golongan itu dalam badan legislatif di negara ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu akan meletakkan lebih ramai calon wanita bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melebihi PRU14 sebelum ini.
“Saya yang akan tandatangan watikah calon PRU15, saya jamin jika perlu memilih calon wanita dan lelaki yang mempunyai kriteria sama, saya akan memilih wanita,” katanya ketika menjadi ahli panel pada Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik: Memacu Realiti Peningkatan Perwakilan Wanita Dalam PRU15 dan Badan Legislatif.
Forum rentas parti yang julung kali diadakan itu adalah anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.
Sementara itu, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang juga ahli panel pada forum itu, berkata Bersatu kebelakangan ini semakin terbuka dalam memberi ruang kepada wanita sebagai calon pilihan raya.
“Bersatu sendiri, 60 peratus terdiri daripada Srikandi manakala 40 peratus sayap utama dan Armada. Begitu ramainya wanita, kita akan perjuangkan supaya pucuk pimpinan memberi ruang kepada lebih ramai calon wanita bertanding pada PRU15 ini,” katanya.
Sementara itu ahli panel, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula berkata, BN mendahului usaha memperkasakan wanita malahan dalam politik mahupun pembuat keputusan.
“Bahkan kalau kita lihat hari ini, YB (Yang Berhormat) Rina dan Mas sendiri lahir daripada UMNO, kita serius dalam memperkasakan wanita, mungkin satu hari nanti, kita boleh gubal Akta 30 peratus wanita dalam Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebarang pindaan perlembagaan dalam parti berkenaan tidak akan meminggirkan golongan wanita.
“Kita ada terima cadangan, untuk menambahkan jawatan naib presiden dan sekiranya keahlian bertambah, saya jamin jika ada pindaan, naib presiden keempat parti akan disandang oleh seorang wanita,” katanya.
Untuk rekod, sejak 65 tahun kemerdekaan negara, jumlah kepimpinan wanita dalam badan legislatif negara tidak pernah melebihi 15 peratus iaitu 14.86 peratus di Dewan Rakyat, 11.42 peratus di Dewan Negara dan 11.57 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN). – BERNAMA