HomeNiagaPKNS anjur program Protune, bagi peluang pelajar timba pengalaman keusahawanan

PKNS anjur program Protune, bagi peluang pelajar timba pengalaman keusahawanan

 

SHAH ALAM: Seramai 141 orang pelajar dari 47 sekolah menengah di seluruh daerah di Selangor berpeluang menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawan menerusi program Promosi Jualan Tunas Niaga (PROTUNE) yang diadakan di kawasan ruang legar Kompleks PKNS Shah Alam, di sini.

Program tahunan PROTUNE selama tiga hari anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor yang bermula semalam itu turut disertai peserta dari program BizClub PKNS, menyediakan 70 reruai.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas dalam ucapan perasmian hari ini berkata PROTUNE merupakan salah satu program pembudayaan keusahawanan yang disediakan oleh PKNS sebagai latihan praktikal kepada pelajar sekolah, bagi membantu melahirkan lebih ramai generasi usahawan muda.

“Atas dasar itu, PKNS meneruskan legasi inisiatif seumpama ini bagi memberi pendedahan tentang suasana perniagaan sebenar serta memberi peluang kepada para pelajar merasai pengalaman berinteraksi dan berkomunikasi secara terus dengan pembeli awam, di samping menggilap bakat usahawan mereka.

“Misalnya hari ini, kita dapat lihat pelbagai jenis produk perniagaan ditawarkan antaranya produk makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian dan juga produk kreatif oleh para peserta program, melibatkan tiga orang pelajar termasuk seorang guru pembimbing bagi setiap sekolah yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, PROTUNE yang mula diperkenalkan sejak 1998 melibatkan pelajar sekolah Tingkatan 1, 2, dan 4 di Selangor.

Katanya, sekolah yang terlibat perlu menubuhkan syarikat dan mendaftar syarikat berkenaan di bawah PKNS, dan tahun ini pelajar yang terlibat dikehendaki menjalankan aktiviti perniagaan mereka di sekolah masing-masing selama lapan bulan bermula April.

“Selain menyediakan ruang pembelajaran keusahawanan melalui Promosi Jualan ini, PKNS turut memberikan peluang latihan dan kursus berterusan bagi peningkatan kualiti peserta PROTUNE menerusi pemantauan di sekolah-sekolah yang terlibat,” katanya.

Mahmud berkata PKNS optimis program berkenaan akan berjaya mencapai objektif pembudayaan yang ditetapkan dan akan turut mencatatkan kejayaan dengan sasaran nilai jualan RM200,000 sepanjang tiga hari program berlangsung. – BERNAMA

 

Authors

Pilihan Editor