HomeBeritaPolitikPN hormati keputusan bubar Parlimen, ikut perlembagaan - Muhyiddin

PN hormati keputusan bubar Parlimen, ikut perlembagaan – Muhyiddin

 

TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan walaupun telah menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU15 dilaksanakan tahun ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pihaknya sebelum ini telah memberikan pandangan bahawa PRU15 tidak sesuai diadakan tahun ini dengan mengambil kira kemungkinan banjir berlaku, namun keputusan itu tetap dihormati.

Katanya, ia kerana pembubaran Parlimen sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan ia keputusan berlandasarkan Perlembagaan negara.

“Yang penting kita sudah membuat persiapan dan akan teruskan agar PN berupaya mencapai kemenangan dalam PRU15,” katanya pada sidang media selepas bertemu pimpinan PN Pahang, di sini, hari ini,

Pertemuan tersebut antara lain dihadiri Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, Pengerusi Gerakan negeri, Randy Yap Kim Heng diserta pemimpin PN pusat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan oleh Seri Paduka.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, berharap perjalanan PRU15 tidak akan terganggu dengan ramalan hujan lebat susulan Monsun Timur Laut dan kemungkinan berlaku banjir.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, PAS menzahirkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku kini sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pembubaran Parlimen adalah dalam keadaan yang agak tergesa-gesa iaitu hanya dalam tempoh empat tahun lima bulan sahaja dalam Penggal Parlimen Ke-14. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor