HomeBeritaPolis siasat kes kanak-kanak dibiar main di balkoni tingkap kondominium

Polis siasat kes kanak-kanak dibiar main di balkoni tingkap kondominium

KUALA LUMPUR: Pihak polis menjalankan siasatan ke atas kejadian tular kanak-kanak dibiarkan bermain di balkoni tingkap di sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Taman Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pada Selasa sekitar jam 4 petang, pihaknya mengesan video tular kejadian itu berdurasi 10 saat dimuat naik di Facebook.

Menurutnya, tarikh dan masa kejadian tidak dapat dipastikan, namun satu laporan dibuat Pegawai Polis dari Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, JSJ, IPK Kuala Lumpur telah menjalankan siasatan.

“Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa mangsa berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001) dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Pihak polis menasihati ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak,” katanya lagi.

Pihak polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Author

Pilihan Editor