HomeBeritaPolis temui bahan letupan dalam kontena musnah di Kediaman Rasmi MB Kedah

Polis temui bahan letupan dalam kontena musnah di Kediaman Rasmi MB Kedah

ALOR SETAR: Pihak polis mendapati kemusnahan kabin kontena dalam kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah dipercayai mempunyai unsur jenayah khianat.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihak polis menerima satu laporan polis mengenai kejadian tersebut pada 18 Oktober lalu sekitar jam 3.49 petang.

Menurut beliau, siasatan ke tempat kejadian yang dijalankan mendapati terdapat kemusnahan teruk sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor di bahagian belakang dalam perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah.

“Siasatan awal tersebut telah membawa kepada penemuan beberapa sampel dan bahan bukti dipercayai digunakan untuk menghasilkan letupan.

“Pihak polis mengesyaki kejadian tersebut mempunyai unsur jenayah khianat menggunakan bahan letupan. Kesemua sampel ditemui telah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis lanjut,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Siasatan tersebut dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan menggunakan bahan letupan terhadap sebuah rumah dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda.

Tambah Wan Hassan, pihak polis masih lagi meneruskan siasatan lanjut secara terperinci bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian tersebut sebaliknya menyeru orang ramai yang mengetahui kejadian ini agar tampil untuk memberi maklumat bagi membantu pihak polis menyelesaikan kes tersebut.

“Sebarang maklumat bolehlah disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asistan Superintenden Che Intan Subri di talian 013-9329614 atau 04-7321222,” katanya lagi.

Author

Pilihan Editor