HomeBeritaPolitikPRU15: Isham Jalil bertemu Zahid, beri bayangan jadi calon

PRU15: Isham Jalil bertemu Zahid, beri bayangan jadi calon

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil memberi bayangan kemungkinan menjadi calon atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Menurutnya, perkara itu susulan pertemuannya dengan pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi isyarat kepadanya.

“Saya dipanggil untuk berjumpa presiden… InsyaAllah saya akan dicalonkan.

“Tetapi saya belum tahu di mana.

“Saya orang parti. Saya tak dicalonkan pada PRU14 tapi tetap terus bekerja untuk parti. Jika diberi peluang kali ini, saya sedia bertanding. Kalau tidak pun, saya tetap akan berkhidmat kepada parti,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersamanya di Riverside Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Dalam majlis itu, Isham turut memaklumkan bahawa beliau setakat ini berjaya meraih kutipan dana sebanyak RM74,000 untuk kempennya.

Tambah beliau, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan had belanja kempen sebanyak RM200,000, Isham merancang untuk hanya membelanjakan RM100,000, dan pada awalnya menyasarkan untuk meraih RM50,000 menerusi sumbangan awam.

“Lebih empat tahun saya berjuang untuk parti guna wang sendiri… Jadi sebab itu sekarang saya rasa ada keperluan untuk raih dana.

“Saya lihat dalam akaun saya ada sumbangan RM5, RM10… Saya pilih untuk guna akaun peribadi kerana parti tak buat kutipan awam,” katanya.

Menurut Isham, kutipan dana itu juga selaras dengan pendiriannya yang menyokong undang-undang untuk mengawal pendanaan politik dan meningkatkan ketelusan berhubung prosesnya.

Malahan, Isham turut memutuskan keputusan untuk menggunakan akaun sendiri supaya UMNO tidak terdedah dengan sebarang risiko, manakala penggunaan akaun syarikat atau NGO pula dilihat tidak wajar.

Mengulas lanjut berhubung kutipan dana untuk kempen, Isham menawarkan sejumlah barangan peribadi termasuk gitar akustik yang berjaya meraih RM5,000, dua poster legenda tinju Allahyarham Muhammad Ali, salinan Perlembagaan Persekutuan dan buku bertajuk Why Nations Fail yang dibelinya ketika menuntut di Universiti Harvard.

Untuk rekod, Isham merupakan bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak dan pernah dilantik menjadi ketua penerangan BN Selangor pada 2020.

Author

Pilihan Editor