KOTA KINABALU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menamakan Naib Presidennya, Shahrizal Denci sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Kota Marudu.
Mengumumkan perkara itu hari ini, Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, pencalonan pimpinan MUDA untuk kerusi di Sabah itu adalah selaras dengan usaha MUDA untuk menampilkan wakil yang dekat dan faham dengan isu rakyat.
Shahrizal, 40, anak jati Sabah yang berasal dari Daerah Ranau merupakan seorang petani moden dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer daripada Universiti Malaysia Perlis.
“MUDA tidak akan berentap di kerusi-kerusi bandar yang mudah tetapi MUDA sebagai sebuah parti baharu, yang dipenuhi orang muda, kita bertekad untuk pergi ke kerusi yang dikatakan susah, kerusi luar bandar,” katanya pada sidang media di sini.
Kerusi Parlimen Kota Marudu disandang Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak). – BERNAMA