HomeBeritaPolitikPRU15: Pengumuman calon PN akan dibuat di peringkat negeri - Muhyiddin

PRU15: Pengumuman calon PN akan dibuat di peringkat negeri – Muhyiddin

 

KOTA BHARU: Pengumuman calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat di setiap negeri, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“(Pengumuman) tak buat di pusat, jadi rakyat di negeri akan tahu siapa calon PN daripada parti-parti yang ada (dalam PN) yang akan bertanding.

“Lepas itu baru kita dapat tetapkan (sasaran kerusi) selepas hari penamaan calon, (sama ada) calon itu diterima insya-Allah lepas tu nanti kita boleh lihat perkembangan, sementara ini yang penting ialah persiapan kita telah pun mulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Penyatuan Ummah sempena Sambutan 32 tahun Pentadbiran Membangun Islam di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.

Turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi Parlimen termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada PRU15.

Beliau berkata, kesemua calon PN akan menandatangani aku janji dan melafaz ikrar antirasuah seperti yang dilakukan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Sumpah ikrar dengan nama Allah bahawa mereka komited untuk menentang dan tidak membuat sesuatu yang melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kita akan buat yang sama (pada PRU15),” katanya.

Muhyiddin juga yakin PN mampu memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan berdasarkan semangat kerjasama yang kukuh antara Bersatu dan PAS di negeri itu.

“Insya-Allah ada semangat kerjasama yang cukup kukuh dan saya yakin rakyat di Kelantan ini memang faham dan sudah tahu mengenai isu-isu yang penting seperti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor