AMPANG: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amirudin Shari diumumkan sebagai calon mewakili parti itu di Parlimen Gombak yang menyaksikan beliau dijangka menentang penyandang, Datuk Seri Azmin Ali.
Pengumuman tersebut menjawab teka-teki bahawa Menteri Besar Selangor itu akan dipertaruhkan bagi merampas kembali kerusi Gombak yang dikuasai PKR ketika Azmin mewakili parti itu sejak tahun 2008 sebelum dibawa lari Azmin yang keluar PKR dalam krisis politik yang dikenali Langkah Sheraton pada Februari 2020.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Pengumuman Calon di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Taman Kosas.
Pada PRU14 lalu, Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak di bawah tiket PKR dengan majoriti besar 48,721 undi menewaskan calon BN dan PAS dalam saingan tiga penjuru.